HomeSukanTMJ Bimbang Budaya Bolasepak Moden Bunuh Kreativiti & Bakat

TMJ Bimbang Budaya Bolasepak Moden Bunuh Kreativiti & Bakat

Budaya bolasepak moden dikhuatiri akan membunuh kreativiti dan pemain-pemain berbakat besar, demikian menurut Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemilik JDT itu dalam satu temubual esklusif bersama Sneako, berkata kebanyakan akademi bolasepak pada hari ini telah menjadi seperti kilang yang menghasilkan robot, bukannya melahirkan pemain yang mempunyai identiti, ketahanan diri dan cita-cita.

“Akademi bagus dari segi pendidikan teknikal dan taktikal pemain. Tetapi akhirnya semua jadi seperti robot,” ujarnya.

“Kalau tengok dulu, pemain lebih bebas untuk mengekspresikan diri. Seperti Ronaldinho. Hari ini, kalau ada Ronaldinho, dia takkan bertahan dalam mana-mana pasukan. Sebab jurulatih akan cakap, ‘Hey, two touch. Two touch dan pass.’

“Semuanya sangat, sangat taktikal. Jadi akademi juga memainkan peranan dalam hal ini. Tiada lagi kreativiti dalam bola sepak,” tambah baginda.

Kebimbangan Tunku Ismail bukan sekadar mengenai gaya permainan, di mana baginda turut menyentuh soal mentaliti pemain masa kini yang menurutnya kurang ketahanan berbanding generasi terdahulu.

“Pemain sekarang jauh lebih cergas kerana teknologi, latihan dan pemakanan. Tetapi dari segi menghadapi kesusahan? Mungkin tidak. Pemain hari ini sangat dimanjakan, malangnya. Itu tidak membina karakter,” tegasnya.

TMJ turut mendedahkan satu isu lama yang menurutnya masih membelenggu bola sepak Malaysia, iaitu kekurangan infrastruktur serta standard profesional dalam kalangan kelab.

“Anda tahu, kami adalah pasukan pertama yang mempunyai fasiliti latihan sendiri di seluruh negara. Boleh percaya? Di seluruh negara. Itu menunjukkan apa? Sikap tidak ambil peduli. Ambil mudah,” katanya, sambil menegaskan masih banyak pasukan gagal memenuhi keperluan asas sebagai kelab profesional moden.

Tunku Ismail turut menetapkan penanda aras tinggi untuk generasi baharu Johor, dengan hanya mentaliti pemain bertaraf dunia diterima dalam pembangunan akar umbi.

“Itulah sebabnya pemain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo… mereka adalah individu yang sangat unik, yang sentiasa ada keinginan untuk capai lebih lagi. Apabila mereka sudah berada di tahap yang sangat tinggi, mereka tetap mahu capai lebih. Itulah yang saya mahukan daripada pemain muda saya,” kata Tunku Ismail.

Artikel asal, ehsan dari Timesport.

RELATED ARTICLES

Most Popular