Liga Malaysia berpotensi menjadi antara liga terbaik Asia, demikian menurut Presiden Malaysia Football League (MFL) Dato’ Ab Ghani Hassan.
Beliau menolak tanggapan Liga Malaysia adalah liga gred rendah berikutan isu-isu yang seringkali dibangkitkan antaranya mutu pengadilan, masalah tunggakan gaji yang tiada penghujung, kemeriahan ataupun kehadiran penyokong ke stadium yang semakin suram serta kualiti liga itu sendiri.
Tegas Ab Ghani, Liga Malaysia ketika ini berada di ranking ke-11 daripada 47 liga di Asia (berdasarkan sumber AFC) dan ia sekaligus membuktikan betapa liga ini bukan seburuk dicanang.
“Beberapa perkara perlu diberi fokus iaitu pembangunan (akar umbi), infrastruktur, penajaan dan disiplin kewangan. Ini kalau dibuat secara betul ia bukan saja menghapuskan masalah Liga M, malah kita sudah boleh ada sasaran.
“Sebab itu dalam mesyuarat saya katakan liga kita ini bukanlah liga yang calang-calang juga sebab daripada 47 liga di peringkat Asia kita nombor 11, bukan nombor 38. Nombor enam di peringkat Asia Timur daripada 22 negara dan nombor dua di peringkat ASEAN.
“Liga kita ini hebat, tapi apa yang penting adalah pengisian, pengisian yang mana kelab kena berusaha tiada masalah lagi untuk liga dan peringkat MFL sendiri juga berusaha berbuat sesuatu,” kata Ab Ghani dipetik dari laporan BH Sukan.
Beliau juga memaklumkan jumlah tontonan bagi musim ini mencecah jumlah yang tinggi iaitu 115 juta – peningkatan sekali ganda – berbanding musim lalu yang mencatat 61 juta.
Bagaimanapun Ab Ghani tetap bimbang dengan kehadiran penyokong ke stadium yang semakin merosot.
“Namun, yang kita risau hari ini adalah bagaimana kelab boleh menarik penyokong datang ke stadium. Apabila penonton datang ke stadium mereka (kelab) mendapat pendapatan. Sebab itu saya katakan selepas ini kita duduk bersama-sama, fikir bagaimana kita boleh meramaikan penonton datang ke stadium.
“Bukan untuk musim ini yang tinggal beberapa perlawanan sahaja, tetapi bagi kita rancang apa perlu buat untuk musim depan. Jadi, MFL akan cuba bersama dengan mereka untuk bantu,” ujar beliau.



