Liga Super mahupun Liga Semi-pro, tidak perlu beri lesen kepada kelab yang tidak stabil secara kewangan. Demikian nasihat bekas pemain kebangsaan yang juga pengkritik bolasepak tanah air, Dato’ Jamal Nasir Ismail.
Beliau berkata sikap badan pengelola yang tidak tegas dan sering berlembut dengan pelanggaran peraturan pelesenan membuka ruang kepada banyak kelab untuk mengambil kesempatan, malah ia mewujudkan persoalan mengenai kriteria dan tahap pematuhan sebenar proses pelesenan.
Bercakap kepada wartawan Timesport, Farah Azharie, Jamal berkata: “Kita sudah lama kononnya profesional. Tetapi setiap tahun benda sama berlaku. Kelab hantar dokumen lewat, tidak mematuhi tarikh akhir, kemudian MFL (Malaysian Football League) beri masa tambahan, lanjutan dua ke tiga minggu.
“Kemudian apabila sampai masanya, kita pun tidak tahu dah penuhi syarat atau tidak, tiba-tiba diterima. Semua dapat lesen. Kiranya pasukan yang tidak dapat memenuhi syarat selama beberapa bulan diberikan masa, berjaya melakukannya dalam masa dua minggu tarikh lanjutan. Tiada siapa tahu apa yang berlaku, kerana ini hanya antara MFL dan kelab.”
Tambah Jamal lagi, kesan daripada kitaran yang tidak sihat ini boleh dilihat ketika musim sedang berlangsung apabila masalah kewangan sudah tidak lagi boleh dibendung, sekaligus membawa kepada isu tunggakan gaji yang menjadi penyakit tahunan.
“Masalah ini timbul apabila saingan liga sudah berjalan, kemudian kita dapat tahu pasukan ini tak bayar gaji, pasukan itu tak bayar gaji. Isu yang sama timbul lagi. Bola sepak pada hari ini, kalau tiada duit, takyah sembanglah,” ujar Jamal sambil menegaskan MFL sewajarnya fokus kepada kualiti liga berbanding kuantiti pasukan.
“Berikan lesen kepada kelab yang benar-benar stabil secara kewangan, mempunyai kewangan kukuh sahaja, walaupun ia bermakna jumlah pasukan menjadi lebih kecil,” tambahnya.
Antara kelab yang saban tahun berdepan masalah tunggakan gaji tetapi sentiasa ‘lepas’ untuk bermain adalah Kelantan TRW dan KL City.
Sebelum ini, First Instance Body MFL memaklumkan hanya tujuh pasukan telah melengkapkan penghantaran dokumen pelesenan bagi kitaran 2025-2026 iaitu JDT, Selangor, Terengganu, Kuching City, Negeri Sembilan, Sabah dan Penang.
Manakala beberapa kelab lain telah memohon lanjutan masa untuk melengkapkan dokumentasi dan diberi masa sehingga 14 Mei untuk berbuat demikian.
Foto ehsan: The Real Warrior



