HomeSukanPiala Shopee: "Defisit Satu Gol Bukan Masalah Besar Buat Kami"

Piala Shopee: “Defisit Satu Gol Bukan Masalah Besar Buat Kami”

Nam Dinh menjanjikan malam yang ngeri buat Selangor di Stadium Thien Truong apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan timbal balik separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN Piala Shopee, pada Rabu.

Nam Dinh ketinggalan 1-2 susulan kekalahan di Petaling Jaya pada minggu lalu, namun ketua jurulatih, Vu Hong Viet, yakin pasukannya tiada masalah untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

Menurut pengendali berpengalaman itu, Nam Dinh akan turun dengan skuad terkuat dan percaya defisit tipis itu boleh diterbalikkan.

“Kami telah bersedia sepenuhnya dan setiap pemain berada dalam keadaan terbaik. Kami mempunyai skuad terkuat yang tersedia untuk berdepan Selangor.

“Defisit satu gol bukan masalah besar bagi kami. Kami telah menganalisis kesilapan daripada perlawanan pertama dengan teliti. Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya, dan kami telah bekerja keras dalam latihan untuk memperbaiki aspek penyelesaian akhir. Saya percaya kami akan lebih klinikal kali ini,” katanya ketika sidang media pada Selasa.

Hong Viet turut menyasarkan kapten Red Giants, Faisal Halim, Alvin Fortes dan Ali Olwan sebagai ancaman utama buat pertahanannya sambil menyifatkan trio tersebut mempunyai kebolehan teknikal serta kepantasan yang tinggi.

Sementara itu, penyerang Nam Dinh, Nguyen Xuan Son, menuntut rakan sepasukan agar menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di laman sendiri dan memberikan segala yang terdaya ibarat beraksi di perlawanan final.

Penyerang naturalisasi kelahiran Brazil itu mengakui keadaan padang basah semasa perlawanan pertama di Malaysia telah menjejaskan pasukannya, namun menjangkakan saingan berbeza di Stadium Thien Truong. Tambahnya, Nam Dinh sedang membawa harapan bola sepak Vietnam menuju ke pertembungan tersebut.

“Bagi kami, ini bukan sekadar separuh akhir, ia terasa seperti perlawanan akhir. Faktor cuaca dan keadaan padang basah di Malaysia menyukarkan kami. Tetapi esok (Rabu) kami akan bermain di laman sendiri dan peminat kami akan memberikan motivasi tambahan. Kami bukan sahaja mewakili Nam Dinh tetapi juga bola sepak Vietnam. Kami mahu berjuang untuk semua penyokong Vietnam.”

RELATED ARTICLES

Most Popular