HomeSukanImport Selangor, Terengganu Kebanggaan Liga Malaysia

Import Selangor, Terengganu Kebanggaan Liga Malaysia

Buat pertama kali dalam sejarah, akan ada pemain Liga Malaysia bermain di Piala Dunia, dan ianya adalah pemain dari Terengganu dan Selangor.

Sebelum ini, Liga Malaysia menjadi destinasi beberapa pemain yang pernah bermain di Piala Dunia, dalam kata lain hadir ke sini selepas berakhir era kegemilangan mereka.

Mereka datang ketika sudah berada di penghujung karier antaranya Pablo Aimar (Argentina, Piala Dunia 2002) mewakili JDT pada 2013; El Hadji Diouf (Senegal, Piala Dunia 2002) mewakili Sabah pada 2015; Bosko Balaban (Croatia, Piala Dunia 2002 & 2006) mewakili Selangor pada 2012; Shane Smeltz (New Zealand, Piala Dunia 2016) mewakili Kedah pada 2016; Jerry Palacios (Honduras, Piala Dunia 2010 & 2014) mewakili ATM pada 2015; dan beberapa pemain lain.

Ceritanya berbeza kali ini, nama pemain Terengganu, Gervane Kastaneer, berada dalam senarai panggilan 26 pemain Curacao untuk Piala Dunia 2026 di USA, Mexico dan Canada yang akan berlangsung bulan depan.

Kastaneer memainkan peranan penting buat negaranya ketika di pusingan kelayakan, menjaringkan lima gol untuk memacu Curacao mencipta sejarah layak ke Piala Dunia buat pertama kali. Curacao juga merupakan negara dengan populasi paling kecil untuk beraksi di kejohanan bolasepak terbesar dunia itu.

Di Piala Dunia nanti, Curacao bimbingan Dick Advocaat diundi bersama Jerman, Ivory Coast dan Ecuador.

Dari kem Selangor pula, dua bintang import mereka – Noor Al Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi – disenaraikan pengendali Jamal Sellami dalam panggilan awal 30 pemain, sebelum skuad dikecilkan kepada 26 pemain menjelang 2 Jun.

Sepertimana Curacao, Jordan juga akan beraksi buat pertama kali di Piala Dunia, setelah menduduki tempat kedua Kumpulan B pusingan kelayakan di belakang Korea Selatan. Di Piala Dunia nanti, pasukan itu telah diundi bersama juara bertahan Argentina, Austria dan Algeria.

RELATED ARTICLES

Most Popular