JDT mungkin sudah tiada apa yang mahu dikejar dalam pentas Liga Malaysia. Kejuaraan demi kejuaraan dirangkul, sejarah demi sejarah diperbaharui. Empat musim berturut-turut menyapu bersih semua piala dipertandingkan, hakikatnya ia bukan sesuatu yang mengejutkan, dan hampir mustahil akan ada pasukan yang dapat menoktahkan dominasi mereka setidak-tidaknya untuk lima atau 10 musim akan datang.
Namun, jika ada yang merasakan Harimau Selatan sudah bosan dengan apa yang mereka kecapi, sudah berpuas hati dengan limpahan kejayaan yang diraih – ianya adalah satu kesilapan. Meskipun baru setahun bersama, CEO kelab itu, Luis Garcia sudah betul-betul memahami standard bolasepak JDT dan melaungkan mereka akan terus bermaharajalela.
“Satu pencapaian bersejarah untuk bolasepak Malaysia, namun sejarah semata-mata tidak akan membuatkan kami berpuas hati. Empat kejuaraan berturut-turut adalah hasil daripada visi, kesatuan, disiplin, kerja keras, dan budaya menang yang telah dibina hari demi hari, musim demi musim.
“Bangga dengan setiap insan di sebalik lencana ini. Di JDT, standardnya tetap sama: kekal merendah diri, kekal dahagakan kejayaan, dan jangan pernah selesa. Kini tiba masanya untuk berehat dan pulih yang sememangnya layak dinikmati selepas musim yang panjang. Namun tidak lama lagi, kita akan kembali berjuang.
“Kerana kita tahu apa yang kita mahukan. Dan yang lebih penting, kita tahu apa yang diperlukan untuk kekal di puncak. Tiada ruang selesa. Tiada alasan. Tiada menoleh ke belakang. Hanya cabaran seterusnya,” ujar Luis Garcia.
Untuk rekod, secara total JDT kini telah menjulang 12 kejuaraan Liga Super, lima kejuaraan Piala FA, dan enam kejuaraan Piala Malaysia selain 10 kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih).
Mereka juga mencatat rekod tanpa kalah 108 perlawanan dalam saingan liga, sekaligus menyamai rekod dunia dilakar kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas sejak dari tahun 1989 hingga 1994.



