HomeSukan"Latihan Pun Sudah Cukup" - Safee Sali

“Latihan Pun Sudah Cukup” – Safee Sali

Ketika ramai mempersoalkan mengenai ketiadaan sebarang perlawanan buat skuad Harimau Malaya di jendela antarabangsa FIFA pada bulan Jun, Safee Sali berpandangan ia bukanlah satu isu besar.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata sesi latihan berintensiti tinggi sudah memadai untuk pemain-pemain negara memahami perancangan taktikal dan membina keserasian di antara mereka.

“Ya, perlawanan persahabatan memang bagus untuk persiapan pasukan sebenarnya. Tetapi jika tidak ada perlawanan persahabatan, latihan yang dijalankan saya rasa sudah cukup untuk meningkatkan pemahaman taktikal dan mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain.

“Jika tidak ada perlawanan persahabatan sekalipun, apabila pemain dapat berkumpul dalam satu kem latihan, itu juga satu perkara yang baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita.

Safee yang pernah menyarung jersi Selangor dan JDT juga berpendapat program latihan yang dirancang oleh ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan mampu memastikan pemain kekal kompetitif walaupun tanpa aksi persahabatan. Malah dia percaya pemain sendiri tahu tanggungjawab masing-masing untuk menjaga kecergasan.

“Pemain sememangnya perlu menjaga prestasi dan stamina bagi menghadapi musim baharu. Mereka profesional dan sudah tahu bagaimana untuk menjaga diri masing-masing.

“Dalam tempoh rehat yang agak panjang selepas berakhirnya musim liga sebelum ini, mereka juga perlu menggunakan masa itu untuk berehat dan membuat persediaan mental serta fizikal bagi menghadapi musim seterusnya,” katanya lagi.

Meskipun Safee berpendapat sedemikian, adalah penting Harimau Malaya beraksi dalam jendela antarabangsa kali ini, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan mata dan memperbaiki ranking yang kembali merosot. Kedudukan ranking semasa Malaysia adalah 138 dunia dan ia berpotensi untuk terus menjunam.

Malah ia juga boleh menjadi pentas persiapan dan peluang terbaik menguji pemain untuk Malaysia menghadapi Piala AFF pada Julai, diikuti Piala ASEAN FIFA (pertandingan baru) pada September nanti.

Untuk rekod, kali terakhir skuad kendalian Peter Cklamovski turun beraksi adalah menentang Vietnam dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac lalu. Skuad negara tewas 1-3 dan menamatkan saingan Kumpulan F di tangga kedua.

RELATED ARTICLES

Most Popular