HomeSukanKevin: "Dulu Tak Menyumbang, Sekarang Sibuk Nak Reset"

Kevin: “Dulu Tak Menyumbang, Sekarang Sibuk Nak Reset”

Kevin Ramalingam bersuara lagi, kali ini muncul pada hari berlangsungnya Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang bertujuan menentukan hala tuju badan induk itu, dan juga bolasepak Malaysia secara amnya.

‘Kemunculan’ Kevin Ramalingam ibarat bermusim, dia akan senyap dan menghilangkan diri untuk satu tempoh dan kemudian tiba-tiba lantang menegur dan mengkritik apa yang tidak dikritiknya ketika ada kuasa sebagai CEO Malaysian Football League satu ketika dulu.

Sebelum ini dia muncul selepas beberapa tahun menyepi untuk mempersoal kewajaran untuk mengadakan perbincangan meja bulat antara kelab-kelab Liga Malaysia dan MFL sambil mendakwa idea tersebut mempunyai agenda lain.

Kali ini, dia muncul mengkritik pihak yang mahu reset bolasepak Malaysia, yang mana menurutnya tidak berbuat demikian ketika diberi peluang di awal penubuhan MFL.

“Ramai sembang reset. Tapi bila MFL ditubuhkan dan peluang untuk reset ada depan muka apa kau buat? Ambik short cut (jalan pintas) adopt sekolah menengah kata tu development program kelab. Cari jalan nak lambatkan keperluan mengikut peraturan licensing sebab alasan berbagai.

“Yang belum pernah duduk dalam system kelab atau FA silakan jerit sekuat hati mengenai reset. Yang dah lama dalam system tolong la diam je. Kamu sudah lama diberi peluang dan saluran untuk reset, tetapi apa yang kamu buat hanyalah merungut dan tidak menyumbang.”

Kata-kata Kevin Ramalingam sebenarnya ibarat ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’ atau ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’. Ini kerana dia tidak pernah lantang berkata-kata, atau menegur kelab-kelab yang culas ketika diberi peluang untuk merubah wajah bolasepak Malaysia suatu masa dulu.

Apabila Kevin mendedahkan bahawa ada kelab menjadikan program sekolah sebagai program pembangunan mereka, ada kelab sengaja melambatkan keperluan untuk mengikut peraturan pelesenan, ini bermakna MFL sedar semua kepincangan yang berlaku ini, tetapi mengambil sikap berdiam, pejam mata, dan memberi muka?

Ia tidak ditangani ketika kuasa masih berada di tangan, tetapi dibangkitkan selepas bertahun meninggalkan jawatan. Kevin umpama membuka pekung sendiri, atau dalam kata lain checkmate diri sendiri dan membuktikan bahawa dia gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya dengan efisyen ketika berada di MFL.

RELATED ARTICLES

Most Popular