HomeSukanMontague Sudah Serahkan Dokumen-Dokumen Untuk Diproses

Montague Sudah Serahkan Dokumen-Dokumen Untuk Diproses

Proses dokumentasi pemain muda kelahiran England, Harry Montague, untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dilaporkan berjalan lancar sekaligus menyaksikannya semakin hampir untuk ‘mendapat tiket’ mewakili pasukan kebangsaan.

Pemain berusia 17 tahun yang kini beraksi bersama skuad B-18 West Ham United itu mula mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air selepas kelab Liga Perdana Inggeris tersebut mendedahkan bahawa dia layak mewakili England dan juga Malaysia.

West Ham mengesahkan bahawa Montague mempunyai kelayakan untuk mewakili Malaysia menerusi ibunya yang merupakan warganegara Malaysia, meskipun pemain serba boleh itu dilahirkan di London pada tahun 2009.

Spekulasi mengenai masa depan antarabangsanya semakin hangat selepas sekeping gambar Montague bersama Penyelaras Pasukan Kebangsaan, Zulfadli Rozi, tular di media sosial pada Selasa lalu. Difahamkan, gambar tersebut dirakam di sebuah lapangan terbang.

Menurut laporan tersebut, proses untuk membolehkan Montague beraksi bersama Malaysia sedang berjalan, dan beliau telah datang ke negara ini bersama bapanya bulan lalu bagi menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai status proses kelayakan Montague atau sebarang perancangan untuk menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan.

Sekiranya proses tersebut berjaya diselesaikan, Montague berpotensi menjadi tambahan berharga buat skuad pembangunan dan juga skuad Harimau Malaya pada masa hadapan.

Pemain berketinggian 1.85 meter itu mampu beraksi di beberapa posisi termasuk pemain tengah, bek kanan dan pertahanan tengah, menjadikannya prospek yang menarik kerana versatilitinya di atas padang.

RELATED ARTICLES

Most Popular