HomeSukanRekod Tanpa Kalah JDT Lebur Di Tangan Selangor

Rekod Tanpa Kalah JDT Lebur Di Tangan Selangor

Juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dihadiahkan kekalahan pertama dalam saingan Malaysia Premier Futsal League musim ini, tewas 3-5 kepada pendahulu liga Selangor dalam aksi sengit di Shah Alam.

Ia sekaligus memberi tamparan hebat kepada skuad Harimau Selatan dalam misi mempertahankan kejuaraan MPFL buat musim ketiga berturut-turut. Skuad Joao Almeida ketika ini kekal menghuni tangga ketiga dengan 13 mata – ketinggalan lima mata di belakang Selangor.

Manakala kemenangan keenam berturut-turut buat Selangor menyaksikan skuad Edgar Baldasso mengekalkan rekod sempurna dan terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas dengan 18 mata, dua mata mengatasi pencabar terdekat Pahang Rangers.

Berdepan Selangor yang berada di prestasi memuncak, JDT tampak tenggelam punca dan sudahpun ketinggalan 0-2 ketika perlawanan baru berlangsung tiga minit.

Marlon Oliviera membuka jaringan pada minit kedua, dan tidak sampai seminit kemudian gawang JDT bergegar lagi menerusi sepakan percuma Evandro Borges yang menewaskan penjaga gol Zainulzahin Sinuan.

JDT cuba untuk kembali dalam permainan, berjaya merapatkan defisit pada minit keempat menerusi pemain kebangsaan Awalluddin Md Nawi. Perlawanan berlangsung lebih seimbang selepas itu sebelum Red Giants berjaya menambah gol sekali lagi menerusi Evandro Borges pada minit akhir babak pertama.

Dua minit permainan bersambung, Mahadir Harahap menjadikan kedudukan 3-2 untuk menyalakan apa kebangkitan buat JDT.

Bagaimanapun Selangor terus garang, beroleh jaringan keempat melalui Evandro Borges yang melengkapkan hatrik pada minit ke-30, disusuli jaringan Syahir Iqbal Khan tiga minit kemudian.

Walaupun mengaktifkan permainan powerplay, usaha JDT memburu jaringan tidak berhasil dan terpaksa akur dengan kehebatan Selangor.

Aksi seterusnya buat Selangor, pertembungan blockbuster ‘top of the table’ menentang Pahang Rangers di SUKPA pada Sabtu. Manakala JDT pula akan berdepan ATM pada Ahad.

Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung lebih awal, Pahang Rangers tampil bertenaga untuk meraih tiga mata dengan membenam USM FC 7-1.

Bintang import skuad Tok Gajah, Rodrigo da Silva terus cemerlang apabila meledak hatrik manakala Felipe da Souza menyumbang dua gol sebelum Razin Rahim dan Amirul Khairuddin melengkapkan kemenangan bergaya.

RELATED ARTICLES

Most Popular