Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengibaratkan ketiadaan pemain sayap lincah mereka, Arif Aiman Hanapi, seperti kehilangan Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata demikian selepas membelasah Penang 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Jumaat lepas, sekaligus mengukuhkan cengkaman mereka dalam perebutan kejuaraan.
Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia empat kali berturut-turut, mengalami kecederaan harmstring ketika Malaysia menentang Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia pada November lalu.
Dia kemudiannya telah menjalani pembedahan bersama pakar ortopedik terkemuka, Lempainen Lasse di Finland pada Disember dan sedang dalam fasa pemulihan.
Munoz bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh sebenar kepulangan pemain berusia 23 tahun itu, namun menegaskan bahawa pemain tersebut bekerja keras untuk kembali cergas sepenuhnya.
“Arif bekerja sangat keras setiap hari untuk pulih secepat mungkin. Kami kehilangan salah seorang pemain terbaik dalam pasukan. Ia satu masalah besar buat kami, seperti mana Real Madrid atau Barcelona kehilangan Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo pada zaman mereka.
“Namun kami perlu terus bekerja sebagai satu pasukan. Pemain lain perlu tampil dan memberikan yang terbaik untuk kelab, dan Arif tetap memberi sokongan dari luar.”
Arif Aiman telah menjadi salah seorang pemain paling berpengaruh buat Johor Darul Takzim sejak beberapa tahun kebelakangan, menjaringkan 61 gol dan melakukan 66 assists.
Ketiadaan pemain itu, juga merencatkan persiapan Harimau Malaya untuk berdepan Vietnam pada 31 Mac, dengan Peter Cklamovski memberitahu dia tidak meletak harapan untuk Arif Aiman kembali dalam tempoh terdekat.
“Ya, saya tidak rasa dia dapat diturunkan, sangat tipis. Kita harapkan keajaiban, tapi saya ragu. Jika tanya saya, memang saya cenderung untuk mengatakan tidak buat Arif Aiman,” kata Cklamovski



